22 October 2014

ANTARA CITA DAN CINTA?



Kunci kereta kucapai dengan pantas. Emak muncul di ruang tamu apabila aku membuka pintu rumah. Emak, masih berbaju kurung baharu pulang mengajar dari sekolah. Aku ingin melangkah kaki untuk keluar rumah tetapi ditangguhkan apabila emak bertanya kepadaku ;


"Betulkah hendak pos borang permohonan belajar di Aswara?"


Pandangan emak terarah di tanganku. Sekeping sampul surat, sarat dengan beberapa dokumen penting. Aku genggam sampul surat dengan keyakinan dan semangat membara.


"Iya, mak. Kita nak keluar sebab nak pos borang ni. Kenapa mak?"


Aku tatap wajah emak kucintai. Emak pandang lagi sampul surat. Aku tahu. Emak tidak menyokong keputusanku untuk sambung belajar di Aswara. Aku tahu tetapi aku berpura-pura tidak tahu agar semangat aku tidak lemah. Tidak mengubah sebarang keputusan yang telah aku tetapkan sebaik kali pertama aku melihat iklan Aswara di surat khabar.


Aku gunting keratan iklan Aswara dan simpan keratan itu sebaik-baiknya. Aku tidak peduli dengan respon negatif emak apabila aku beria-ria untuk mencuba menyambung pelajaran di Aswara. Kukira, usia 21 tahun memberi 'kuasa' agar aku memilih keputusan tepat demi masa hadapanku. Aku degil kerana pilihanku. Tamat SPM, aku menyambung pelajaran STPM di sekolah harian biasa walaupun emak memujukku agar menyambung di sekolah agama. Aku enggan lagi. 


Emak bersetuju aku hendak  belajar STPM di sekolah biasa. Borang STPM sekolah agama entah ke mana aku letak. Aku mahu perubahan baru, merasai tempat baru. Janjiku kepada emak, aku akan belajar bersungguh-sungguh meskipun subjek baharuku akan belajar ; Kesusasteraan Melayu dan Komunikasi Seni Visual. Janjiku kepada emak lagi, aku akan jaga diri di tempat baharu. Aku belajar dengan rasa teruja dan seronok namun rezeki tidak berpihak kepadaku. Keputusan STPM subjek Pengajian Am ku rendah sedangkan subjek lain aku mendapat markah cemerlang.


Kecewa? Memang aku kecewa namun aku sabar. Aku percaya ada hikmah Allah ingin hadiahkan untuk aku. Emak pujuk aku lagi agar jangan cepat mengalah. Buat kali kedua dengan pujukan dan sokongan emak, aku ulangi sekali lagi menduduki STPM di PPYT. Namun begitu, keputusan STPM subjek Pengajian Am juga rendah. Semangat? Sudah lenyap serta-merta dengan dunia gelap bagiku. Aku benar-benar tidak mampu berdiri bangkit kembali. 


Aku takut dan bimbang dengan masa hadapanku yang masih kabur. Makin kusedih dan sebak melihat seorang demi seorang teman-temanku melangkah ke universiti. Aku pula masih di rumah tanpa berbuat apa-apa. Aku tidak mahu mensia-siakan usia mudaku dengan mudah. 


Suatu hari, aku melihat iklan Aswara dan aku nekad mahu mencuba. Aku isi borang permohonan belajar Aswara dengan semangat baru. Tiada alasan untuk aku berpatah ke belakang kerana peluang aku gapai kejayaan masih belum terhenti. 


"Kalau dapat?" soalan emak melenyapkan lamunanku.


"Sambunglah mak..."


"Dalam bidang penulisan?" emak ragu-ragu dengan keputusanku.


"Ya, dalam bidang penulisan mak," aku kukuhkan keputusan tanpa rasa digugat dengan keraguan emak.


"Kalau tak dapat?" emak mengujiku dengan pandangan yang kusukar tafsirkan.


"Kalau tak dapat tak apa. Sekurang-kurangnya cuba dan berusaha juga, mak," aku berasa sayu.


Perasaan yang kusukar tepis apabila bertentang mata dengan emak. Restu emak yang kumahukan walaupun emak tidak bersetuju dengan keputusanku. Aku tidak boleh ubah keputusanku lagi. Aku kena bangkit kembali. Emak pandang ke arahku dan aku tahu, aku anak yang degil dan keras kepala. 


Aku benar-benar dilema saat itu. Antara kehendakku dan restu emak membuatkan kuserba-salah. Aku tarik nafas dan bersalaman dengan emak. Salaman itu kuanggap restu emak mengizinkan aku untuk menghantar borang permohonan belajar di Aswara. Biarlah aku menjadi anak degil saat itu demi mengejar cita-cita dan impianku kelak. Aku tidak berlengah lagi terus keluar dari rumah.


Alhamdulillah, aku menerima khabar baik apabila layak ditemuduga walaupun agak mencabar bagiku. Kemudian, aku mendapat panggilan daripada Aswara apabila aku lulus peringkat temuduga dan layak menyambung pelajaran di Aswara peringkat diploma. Biarlah orang pertikaikan tahap pengajian Diplomaku walaupun kumemiliki di sijil STPM. Aku hendak belajar dari bawah, merasai kesusahan sebelum merasai kesenangan. 


Walaupun aku layak belajar di Aswara tetapi restu emak dan ayah masih sukar untukku raih. Memang mereka restu tetapi dengan rasa ragu. Ayah pernah berkias denganku ;


"Tak nak sambung belajar di politeknik?" soal ayah.


"Tak mahu." aku matikan pertanyaan dengan keputusan tetap dengan tegas.


Aku memang anak degil. Enggan mengubah keputusan apabila dipujuk oleh emak dan ayah. Sampai bila aku mahu mengharapkan pujukan emak dan ayah sedangkan aku melalui fasa meningkat kedewasaan? Emak dan ayah akhirnya mengalah, bersetuju dan merestui keputusanku.




Aku mulakan hidup baharu sebagai pelajar Penulisan Kreatif, Aswara. Selama tiga tahun aku hadapi pelbagai ujian dan dugaan. Menulis? Bukan suatu perkara mudah yang orang fikirkan. Menulis perlu ada tanggungjawab, bukan sekadar menulis bersikap lewa. Tidak semudah yang orang katakan, ah menulis sahaja. Jangan mudah menganggap begitu. Datanglah dunia penulisan dan rasai sendiri kerana aku bermula dari kosong juga. Sukar sekali tetapi aku tidak putus asa. 


Aku kenang wajah emak dan ayah. Restu mereka berikan bukan senang aku hendak miliki, itupun kedegilanku yang entah apa-apa. Aku belajar dan terus belajar. 


Perkara paling gila yang aku lakukan ialah memutuskan perhubungan cintaku dengan bekas teman lelakiku. Selama dua tahun kami berpasangan sebagai kekasih. Namun begitu, aku tidak dapat rasa kebahagiaan  taktala aku mengejar cita-cita. Pengorbanan itu perlu. Aku nekad putuskan hubungan kami tanpa setitik air mata. Aku nekad!


Aku lakukan perkara gila itu demi emak dan ayah. Cinta itu biarlah pergi jauh asalkan restu emak dan ayah sentiasa di sisiku. Keputusan itu kulakukan ketika semester satu, dua bulan selepas aku belajar di Aswara. Selepas itu, kututup dan kunci hatiku serapat-rapatnya tanpa cinta. Walaupun ada beberapa orang lelaki hadir dengan cinta tetapi aku tolak dengan tegas. Aku tidak perlukan cinta untuk mengejar kejayaan. Janjiku kepada emak dan ayah ;


- Belajar bersungguh-sungguh. Susah dan sukar kujadikan cabaran untuk menggapai kesenangan demi kejayaan kelak.




- Memiliki keputusan peperiksaan setiap semester sebaik-baiknya. Alhamdulillah, sepanjang tiga tahun, pointer setiap semesterku 3.00 ke atas. Aku juga berjaya mendapat Anugerah Dekan beberapa kali. Kebahagiaan yang paling nikmat kukecapi apabila terukir senyuman gembira dan bangga di wajah emak dan ayah. Alhamdulillah, syukur.



*Maaflah gambar kabur. Paling penting senyuman tu, aset wajib. Hihi


- Menamatkan pengajian dengan gelaran status 'Graduan'. Ya, kenangan paling indah bagiku. Menaiki pentas untuk menerima sijil. Kemudian turun dari pentas, melintasi di hadapan emak dan ayah. Kutayangkan sijil pengajianku dengan rasa gembira, teruja dan bahagia sekali. Senyuman emak dan ayah sungguh indah buatku. Sempat ayah mengambil gambarku bersama sijil itu. Oh, indahnya. Alhamdulillah, syukur dan syukran Allah.






- Menghasilkan dan memiliki karya sendiri. Alhamdulillah, sebagai permulaan tiga buah karyaku tersiar di dalam majalah. Ketiga-tiganya tersiar di majalah Dewan Siswa. Bagaikan tidak percaya tetapi itulah hasil titik peluh aku usahakan selama ini bermula dari bawah dan kosong. In Shaa Allah, aku akan terus berkarya asalkan restu emak dan ayah utuh di sisiku. Alhamdulillah.


Kesusahan kuharungi selama tiga tahun akhirnya lenyap. Kesenangan bersama cita-cita, impian dan kejayaan mengubah hidupku kini. Alhamdulillah.


Sekarang, aku menyambung pengajian di Aswara peringkat Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif.




Pilihanku antara cita dan cinta?





Kupilih CITA demi mengejar cinta ilmu dunia dan akhirat.


Cita-cita itu kupilih dan bagaimana dengan soal cinta? In Shaa Allah, jodohku pasti ada telah Allah takdirkan. Biarlah kemudian, aku bukan seorang tergesa-gesa. Walaupun cinta hadir (Bak kata orang, usiaku sudah layak memiliki cinta walaupun aku tiada perasaan tentang cinta), pelajaran kuutamakan. Nak kahwin sekalipun, tamatkan pengajian dengan gelaran status 'Graduan Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif' secara sah. In Shaa Allah, mudah-mudahan. Amin :)


Nasihat dan pesan aku buat adik-adik junior, belajar dan kejarlah cita-cita dahulu. Hargai restu ibu bapa kerana restu mereka 'kunci' keberkatan hidup kalian. Jangan leka dan alpa mengejar cinta semata-mata sehingga menyesal kelak. Belajar bersungguh-sungguh. Hargai segala-galanya kerana segala kesusahan kesedihan dan keperitan telah kurasai semuanya. Jangan sesekali musnahkan apa yang kita ada. Hargai, bersyukur, berusaha dan laksanakan untuk diri sendiri, ibu bapa, keluarga dan untuk semuanya. Kejarlah cita-cita dan gapailah kejayaan :)


*Kesibukan sebagai seorang pelajar berkasih sayang dengan tugasan berlambak. 
I love it. Muahaha


Baiklah, aku hendak noktahkan entri di sini. Maaf terlalu panjang seperti biasa, muahaha. Kali ini entriku tulis dengan gaya penulisan skema. Hihi.



Terima kasih kerana mengunjungi blog kesayanganku. 
Aku sayang kalian.


- XOXO -



Post a Comment