30 June 2011

RUMAH TUA PERGI JUA


Petang kelmarin dulu aku, emak dan nenek pergi rumah arwah datuk, Tok Cik di Kampung Telaga Nibong. Sampai di rumah pintu pagar terbuka. Sungguh, aku rindu rumah itu. Rumah yang banyak dengan memori yang tak akan dilupakan sampai bila. Aku lihat pokok sudah menjadi tua tiada keserian, rumput mula tumbuh meliar dan rumah itu kesepian tanpa penghuninya. Sayu, sedih dan sebak mengenangkan rumah tua itu keseorangan tanpa pemiliknya yang telah pergi selama-lamanya.


Ini gambar pertama yang aku snap sampai ke rumah ni. Sebak. Rindu. Sudah lama aku tidak menjejakkan kaki ke sini. Inilah tempat asal-usulku. Tempat kelahiranku. Aku bangga dilahirkan di kampung keluargaku. Rumah ini banyak kenangan dalam hidupku. Tidak senang hati apabila melihat jendela rumah terbuka. Kata emak sejak arwah atuk meninggalkan dunia jarang rumah itu dijenguk. Pernah sekali rumah itu disewakan tetapi tidak lama. Kedudukan rumah ini agak jauh antara rumah lain menyebabkan takut untuk tinggal di situ. Selepas itu rumah itu dimasuki golongan tak sepatutnya. Remaja lelaki yang menceroboh rumah itu membuat perkara tidak elok. Faham-faham sajalah kalau remaja lelaki suka hati menceroboh dan ada tujuan yang ingin dibuat.


Rindunya tengok pokok tu. Pokok tu sudah dipotong dan tinggal 'separuh' saja. Masa kecil-kecil dulu aku, adik-beradikku dan sepupuku selalu main di pokok tu. Dulu pokok tu besar dan tinggi. Kami akan main panjat-memanjat, buat rumah dan macam-macam lagi. Kecoh kami bermain tetapi seronok. Bila dah besar tak dapat lagi main seperti dulu. 



Emak letak kereta di situ sahaja kerana tidak berani mendekati rumah. Mana tahu ada orang di dalam rumah menceroboh sebab jendela terbuka punya pasal. Jadi, kami menunggu dulu bapa saudaraku, Pak Long datang ke situ kemudian barulah masuk ke dalam rumah. Lihatlah emak dan nenek berjalan sana-sini sedangkan aku berada di atas jalan raya. Aku penakut. Aku tak suka pijak kawasan rumput. Ada pacat. Memang aku geli dan penakut dengan pacat.  Eii..!


Selepas tu aku cepat-cepat berlari laju masuk ke dalam kereta. Tak mahu kena gigit dengan pacat, hehe. Kalau jalan ni aku memang berlari laju nak-nak kalau hujan lagi la aku laju. Keluarga dan kaum kerabatku sudah tahu sangat dengan 'trademark' aku, hehe. Alah nama aje budak kampung tapi tak la original sangat sebab takut dengan pacat,haha.


Emak dan nenek dah duduk depan sana tengok kawasan rumah. Aku pula hanya duduk dalam kereta tak mahu keluar. Gelilah nak pijak rumput makin panjang dan sedikit basah. Tengah menunggu aku membebel pula kerana geram dengan nyamuk. Ish, banyak sangat nyamuk ni serang aku. Bertepuk tampar la tangan aku jawabnya dan agak banyak juga nyamuk yang terkorban. Aku tengok nyamuk dah macam drakula hisap darah. Kebulur sangat la tu,huhu. Lepas tu barulah Pak Long datang dengan lori kecil dia sebab nak angkut barang-barang.


Inilah pintu rumah yang banyak berjasa. Masa nak pijak tangga memang sebak sangat. Tiba-tiba teringatkan arwah atuk. Kalau arwah atuk ada lagi mesti dia akan duduk di muka pintu seorang diri. Nenek pula mesti sibuk memasak tak pun pergi ke kebun belakang rumah. Selalunya kalau datang rumah ni mesti atuk duduk kat pintu lepas tu ada kucing kesayanganku, Comel Sayang duduk menyambut kedatanganku. Aduhaii, rindunya!


Tengok 'gerai' tu. Itu salah satu tempat kesukaan arwah atuk. Petang-petang mesti dia duduk kat situ berehat sambil menikmati angin segar. Kadang-kadang aku pun selalu duduk kat situ. Aku rasa macam bayangan arwah atuk masih ada kat situ. Aduhaaii... 


Kalau datang rumah arwah atuk mesti aku tengok jendela ni dulu. Selalunya nampaklah arwah atuk tengah solat. Kalau ada tetamu datang mesti aku dan sepupuku mengintai kat jendela ni. Kalau saudara mara tidak kisah tapi tetamu yang tak kenal mesti kami cepat-cepat berlari masuk dapur. Hehe.

Mesti korang nak tengok dalam rumahkan? Okey pintu dah dibuka dan lihatlah keadaan dalam rumah..


Bersepah keadaan rumah. Tengok kerusi teringat lagi kat arwah atuk. Atuk suka duduk tak pun selalu tidur kat kerusi kesayangan dia. Kaum kerabat kami jarang duduk salah satu kerusi kesayangan dia. Kalau datang rumah dari jauh dah nampak arwah atuk duduk kat kerusi tu.. Rindu lagi...


Jendela dibuka sebab elektrik tidak ada. Bukan dipotong tetapi alat (aku pun tak tahu nak panggil apa) elektrik tu kena curi. Ini  mesti kerja budak lelaki yang mencereboh rumah ni. Geram betul. Terpaksa la kami bukak semua jendela agar nampak terang dan jelas sikit.


Operasi mencari dan mengangkut barang dimulakan. Kerja aku pula jadi jurugambar snap setiap sudut rumah ini. Ini sajalah yang dapat dijadikan kenangan seumur hidup. Rumah ini ada dua bilik aje. Sebelah kanan tu bilik mak saudaraku, Mak Su tapi sekarang dah tak ada sebab Mak Su tinggal di Kemaman. Sebelah kiri yang nenek tengah berdiri di pintu tu bilik nenek dengan arwah atuk.


Ruang dekat dengan jendela dan bilik Mak Su tu tempat solat. Bahagian tengah ni kadang-kadang lokasi tidur  untuk rehat-rehat je dan tonton tv.

Mari kita ke dapur pula.. 



Inilah dapur yang banyak kenangan. Di situlah tempat makan dengan bersila, tempat berehat kalau tetamu datang, berborak-borak dengan kaum kerabat, buat ketupat nak sambut hari raya dan macam-macam lagilah. Kalau Hari Raya mesti kami semua duduk kat situ dan makan kuih, ketupat, lemang dan nasi beramai-ramai. Masa tu meriah sangat.


Ini tempat nak masak, kadang-kadang makan kat meja bulat, bersih pinggan mangkuk dan letak barang-barang dapur. Biasanya mak saudara, emak dan nenek nak buat pulut ketupat apa kat bawah dengan duduk di atas tikar. Kat situ sejuk sikit. Lepas tu aku pun sibuk nak join buat ketupat tapi tak jugak pandai-pandai nak buat ketupat yang cantik. Tak pandailah,hehe..


Ini tangga kegemaran aku. Kalau borak-borak atau makan benda ringan mesti duduk kat tangga ni. Kadang-kadang tengah bermesra dengan kucing. Kalau tak tahu nak buat apa duduk termenung kat tangga ni.


Haa, tengok ada telaga. Biasalah rumah kampung mestilah ada air telaga. Aku dah biasa sangat mandi guna air telaga tapi kalau mereka yang tak pernah guna air telaga mesti kekok. Okey jugak ada telaga sebab mengingatkan aku ni anak kampung jadi kalau pergi ke mana-mana tempat jangan lupa diri,hehe.


Itu tandas dan tempat jemur kain basahan.


Inilah tempat mandi. Tengok paip air yang tinggi. Aku suka mandi kat rumah ni sebab air dia sejuk sangat. Kalau korang yang tak biasa mandi macam kat situ mesti menggigil. Kalau hari panas memang best mandi. Kadang-kadang nenek membebel kat aku sebab aku suka mandi lama-lama. Best la sebab air dia sejuk sangat.


Lepas keluar dari bilik air aku terpandangkan kain milik arwah atuk. Ya Allah, sebak dan rindu datang menerpa lagi. Itu kain pelikat kesukaan arwah atuk Selalu sangat arwah atuk pakai. Aku ambil kain pelikat tu dan aku sentuh. Kini aku tak dapat sentuh lagi tubuh arwah atuk cuma hanya mampu menyentuh kain itu sahaja. Al-Fatihah buat arwah atuk.


Aku keluar dari dapur dan terpandangkan gambar ini. Gambar ini sudah lama melekat di dinding rumah itu. Kalau tak silap aku sejak aku sekolah rendah lagi gambar itu masih ada. Tiada siapa mahu menanggalkannya. Sampai sekarang ia masih setia di situ.


Lihat, rumah ini sudah hampir kosong. Kerusi pun sudah diangkut oleh Pak Long. Beberapa barang penting diangkut untuk dibawa ke rumah keluargaku. Kesian nenek melihat rumah yang didiami kini harus berpisah. Berpisah selama-lamanya. Aku tahu nenek sedih apatah lagi kenangan dia dengan arwah atuk sudah tentu memberi kesan yang mendalam. Ya, dulu nenek dengan datuk di rumah ini. Hanya mereka berdua sahaja tinggal di rumah ini. Hidup berpasangan lamanya akhirnya salah seorang daripada mereka meninggalkan pasangan mereka buat selama-lamanya. Kasihan nenek keseorangan tanpa lelaki yang juga suaminya. Kesunyian sudah pasti buat nenek untuk melalui hari-hari tuanya kini. Sabarlah nek.. 


Okey, ini belakang rumah. Pintu ni pintu kedua selain pintu depan. Selalunya kat belakang ni mesti nak bakar ayam, ikan ke apa kat luar ni. Kalau Hari Raya atau tetamu datang mesti kami masuk pintu belakang. Jarang masuk pintu depan sebab segan dengan tetamu, hehe..



Pak Long tengah sibuk kemaskan barang-barang. 


Sebahagian barang-barang macam rak kayu, tikar getah, baju buruk dan apa-apa lagi dibakar. Aku hanya memandang api yang sedang menikmati mangsanya untuk dibakar. Tiada lagi kenangan yang dapat dimiliki.


Masing-masing sibuk membersihkan barang yang nak diangkut. Aku juga yang masih sibuk snap gambar sana sini. Ini kenangan terakhir.


Kawasan rumah makin semak dengan rumput yang panjang meliar. Korang cuba tengok jendela tu. Masa dulu-dulu aku suka panjat jendela tu. Naik turun panjat jendela tu. Dah biasa buat macam tu tapi tak ada orang marah pun. Aku tak reti duduk diam kalau nak main panjat-panjat ni. Rindu pulak nak main panjat jendela tu tapi tak berani sebab rumput panjang. Ada pacat, tak nak la..


Kenangan paling bermakna buat aku mesti la kat tangga. Tangga yang cukup istimewa bagi aku. Di sini aku selalu bermesra dan bergambar dengan kucing, berbual-bual dengan arwah atuk dan kaum kerabatku yang lain, menghirup udara segar dan ada lagilah..


Sebelum pulang ke rumah aku sempat snap gambar terakhir. Sengaja pintu dan jendela rumah dibuka luas-luas. Lagipun rumah ini tidak selamat. Ada sahaja budak lelaki masuk menceroboh. Tiada siapa mahu duduk di sini.  Kalau lama dibiarkan bahaya dan tempiasnya terkena pada orang kampung. Memikirkan kepentingan orang kampung juga kami terpaksa robohkan rumah ini. Kalau tidak pasti kes kecurian semakin berleluasa.  Hurmm....

Korang nak tahu bila rumah ni dibuat?


Tahun 1982. Tujuh tahun rumah ini sudah ada sebelum aku wujud di dunia lagi. Tahun 1989 barulah aku dilahirkan rumah warisanku sendiri. Sekarang korang tahukan kenapa rumah ni sangat bermakna bagi aku? 1982-2011. 29 tahun lamanya rumah ni dibina. 

Mesti korang tertanya-tanya kenapa kali ini entri aku tentang rumah ni. Sebenarnya, rumah ni akan dirobohkan. Ya, rumah ini akan dirobohkan! Segala kenangan yang pernah diabadikan tidak lagi mampu diputarkan kembali. Hanya terakam di ingatan dengan bayangan yang berilusi saja. Kayu-kayu rumah pula akan dijual. Sedih dan sebak mengenangkan nasib rumah ini. Tuan rumah sudah pergi jadi rumah ni juga 'kematian' seperti tuannya. Selamat tinggal rumah tua yang banyak berjasa dan mengindahkan memori hidupku. Selamat tinggal (*_*)

TINGGAL KENANGAN








Setitis demi setitis air mata mula mengalir. Meronta-ronta tidak mahu melepaskan rumah tua itu. Satu persatu bayangan memori menerpa menggamit kerinduan. Di rumah itu aku dilahirkan. Aku memiliki datuk dan nenek tersayang. Aku memiliki 'kekasihku' : kucing. Semuanya di situ. Tiada tempat lain walaupun rumah tua itu buruk. biarpun tidak seindah istana mewah. Air mata menitis lagi. Selepas ini generasi warisan keturunan keluarga seterusnya tidak lagi akan merasai memori indah seperti aku. Ya, aku bertuah merasai segala-galanya biarpun hanya sementara. Aku bertuah :-)

INGATAN DAN KERINDUAN SENTIASA MENGGAMIT HARI-HARI MENDATANG KAMI :





AL-FATIHAH BUAT ARWAH TOK CIK 

Post a Comment