30 June 2011

RUMAH TUA PERGI JUA


Petang kelmarin dulu aku, emak dan nenek pergi rumah arwah datuk, Tok Cik di Kampung Telaga Nibong. Sampai di rumah pintu pagar terbuka. Sungguh, aku rindu rumah itu. Rumah yang banyak dengan memori yang tak akan dilupakan sampai bila. Aku lihat pokok sudah menjadi tua tiada keserian, rumput mula tumbuh meliar dan rumah itu kesepian tanpa penghuninya. Sayu, sedih dan sebak mengenangkan rumah tua itu keseorangan tanpa pemiliknya yang telah pergi selama-lamanya.


Ini gambar pertama yang aku snap sampai ke rumah ni. Sebak. Rindu. Sudah lama aku tidak menjejakkan kaki ke sini. Inilah tempat asal-usulku. Tempat kelahiranku. Aku bangga dilahirkan di kampung keluargaku. Rumah ini banyak kenangan dalam hidupku. Tidak senang hati apabila melihat jendela rumah terbuka. Kata emak sejak arwah atuk meninggalkan dunia jarang rumah itu dijenguk. Pernah sekali rumah itu disewakan tetapi tidak lama. Kedudukan rumah ini agak jauh antara rumah lain menyebabkan takut untuk tinggal di situ. Selepas itu rumah itu dimasuki golongan tak sepatutnya. Remaja lelaki yang menceroboh rumah itu membuat perkara tidak elok. Faham-faham sajalah kalau remaja lelaki suka hati menceroboh dan ada tujuan yang ingin dibuat.


Rindunya tengok pokok tu. Pokok tu sudah dipotong dan tinggal 'separuh' saja. Masa kecil-kecil dulu aku, adik-beradikku dan sepupuku selalu main di pokok tu. Dulu pokok tu besar dan tinggi. Kami akan main panjat-memanjat, buat rumah dan macam-macam lagi. Kecoh kami bermain tetapi seronok. Bila dah besar tak dapat lagi main seperti dulu. 



Emak letak kereta di situ sahaja kerana tidak berani mendekati rumah. Mana tahu ada orang di dalam rumah menceroboh sebab jendela terbuka punya pasal. Jadi, kami menunggu dulu bapa saudaraku, Pak Long datang ke situ kemudian barulah masuk ke dalam rumah. Lihatlah emak dan nenek berjalan sana-sini sedangkan aku berada di atas jalan raya. Aku penakut. Aku tak suka pijak kawasan rumput. Ada pacat. Memang aku geli dan penakut dengan pacat.  Eii..!


Selepas tu aku cepat-cepat berlari laju masuk ke dalam kereta. Tak mahu kena gigit dengan pacat, hehe. Kalau jalan ni aku memang berlari laju nak-nak kalau hujan lagi la aku laju. Keluarga dan kaum kerabatku sudah tahu sangat dengan 'trademark' aku, hehe. Alah nama aje budak kampung tapi tak la original sangat sebab takut dengan pacat,haha.


Emak dan nenek dah duduk depan sana tengok kawasan rumah. Aku pula hanya duduk dalam kereta tak mahu keluar. Gelilah nak pijak rumput makin panjang dan sedikit basah. Tengah menunggu aku membebel pula kerana geram dengan nyamuk. Ish, banyak sangat nyamuk ni serang aku. Bertepuk tampar la tangan aku jawabnya dan agak banyak juga nyamuk yang terkorban. Aku tengok nyamuk dah macam drakula hisap darah. Kebulur sangat la tu,huhu. Lepas tu barulah Pak Long datang dengan lori kecil dia sebab nak angkut barang-barang.


Inilah pintu rumah yang banyak berjasa. Masa nak pijak tangga memang sebak sangat. Tiba-tiba teringatkan arwah atuk. Kalau arwah atuk ada lagi mesti dia akan duduk di muka pintu seorang diri. Nenek pula mesti sibuk memasak tak pun pergi ke kebun belakang rumah. Selalunya kalau datang rumah ni mesti atuk duduk kat pintu lepas tu ada kucing kesayanganku, Comel Sayang duduk menyambut kedatanganku. Aduhaii, rindunya!


Tengok 'gerai' tu. Itu salah satu tempat kesukaan arwah atuk. Petang-petang mesti dia duduk kat situ berehat sambil menikmati angin segar. Kadang-kadang aku pun selalu duduk kat situ. Aku rasa macam bayangan arwah atuk masih ada kat situ. Aduhaaii... 


Kalau datang rumah arwah atuk mesti aku tengok jendela ni dulu. Selalunya nampaklah arwah atuk tengah solat. Kalau ada tetamu datang mesti aku dan sepupuku mengintai kat jendela ni. Kalau saudara mara tidak kisah tapi tetamu yang tak kenal mesti kami cepat-cepat berlari masuk dapur. Hehe.

Mesti korang nak tengok dalam rumahkan? Okey pintu dah dibuka dan lihatlah keadaan dalam rumah..


Bersepah keadaan rumah. Tengok kerusi teringat lagi kat arwah atuk. Atuk suka duduk tak pun selalu tidur kat kerusi kesayangan dia. Kaum kerabat kami jarang duduk salah satu kerusi kesayangan dia. Kalau datang rumah dari jauh dah nampak arwah atuk duduk kat kerusi tu.. Rindu lagi...


Jendela dibuka sebab elektrik tidak ada. Bukan dipotong tetapi alat (aku pun tak tahu nak panggil apa) elektrik tu kena curi. Ini  mesti kerja budak lelaki yang mencereboh rumah ni. Geram betul. Terpaksa la kami bukak semua jendela agar nampak terang dan jelas sikit.


Operasi mencari dan mengangkut barang dimulakan. Kerja aku pula jadi jurugambar snap setiap sudut rumah ini. Ini sajalah yang dapat dijadikan kenangan seumur hidup. Rumah ini ada dua bilik aje. Sebelah kanan tu bilik mak saudaraku, Mak Su tapi sekarang dah tak ada sebab Mak Su tinggal di Kemaman. Sebelah kiri yang nenek tengah berdiri di pintu tu bilik nenek dengan arwah atuk.


Ruang dekat dengan jendela dan bilik Mak Su tu tempat solat. Bahagian tengah ni kadang-kadang lokasi tidur  untuk rehat-rehat je dan tonton tv.

Mari kita ke dapur pula.. 



Inilah dapur yang banyak kenangan. Di situlah tempat makan dengan bersila, tempat berehat kalau tetamu datang, berborak-borak dengan kaum kerabat, buat ketupat nak sambut hari raya dan macam-macam lagilah. Kalau Hari Raya mesti kami semua duduk kat situ dan makan kuih, ketupat, lemang dan nasi beramai-ramai. Masa tu meriah sangat.


Ini tempat nak masak, kadang-kadang makan kat meja bulat, bersih pinggan mangkuk dan letak barang-barang dapur. Biasanya mak saudara, emak dan nenek nak buat pulut ketupat apa kat bawah dengan duduk di atas tikar. Kat situ sejuk sikit. Lepas tu aku pun sibuk nak join buat ketupat tapi tak jugak pandai-pandai nak buat ketupat yang cantik. Tak pandailah,hehe..


Ini tangga kegemaran aku. Kalau borak-borak atau makan benda ringan mesti duduk kat tangga ni. Kadang-kadang tengah bermesra dengan kucing. Kalau tak tahu nak buat apa duduk termenung kat tangga ni.


Haa, tengok ada telaga. Biasalah rumah kampung mestilah ada air telaga. Aku dah biasa sangat mandi guna air telaga tapi kalau mereka yang tak pernah guna air telaga mesti kekok. Okey jugak ada telaga sebab mengingatkan aku ni anak kampung jadi kalau pergi ke mana-mana tempat jangan lupa diri,hehe.


Itu tandas dan tempat jemur kain basahan.


Inilah tempat mandi. Tengok paip air yang tinggi. Aku suka mandi kat rumah ni sebab air dia sejuk sangat. Kalau korang yang tak biasa mandi macam kat situ mesti menggigil. Kalau hari panas memang best mandi. Kadang-kadang nenek membebel kat aku sebab aku suka mandi lama-lama. Best la sebab air dia sejuk sangat.


Lepas keluar dari bilik air aku terpandangkan kain milik arwah atuk. Ya Allah, sebak dan rindu datang menerpa lagi. Itu kain pelikat kesukaan arwah atuk Selalu sangat arwah atuk pakai. Aku ambil kain pelikat tu dan aku sentuh. Kini aku tak dapat sentuh lagi tubuh arwah atuk cuma hanya mampu menyentuh kain itu sahaja. Al-Fatihah buat arwah atuk.


Aku keluar dari dapur dan terpandangkan gambar ini. Gambar ini sudah lama melekat di dinding rumah itu. Kalau tak silap aku sejak aku sekolah rendah lagi gambar itu masih ada. Tiada siapa mahu menanggalkannya. Sampai sekarang ia masih setia di situ.


Lihat, rumah ini sudah hampir kosong. Kerusi pun sudah diangkut oleh Pak Long. Beberapa barang penting diangkut untuk dibawa ke rumah keluargaku. Kesian nenek melihat rumah yang didiami kini harus berpisah. Berpisah selama-lamanya. Aku tahu nenek sedih apatah lagi kenangan dia dengan arwah atuk sudah tentu memberi kesan yang mendalam. Ya, dulu nenek dengan datuk di rumah ini. Hanya mereka berdua sahaja tinggal di rumah ini. Hidup berpasangan lamanya akhirnya salah seorang daripada mereka meninggalkan pasangan mereka buat selama-lamanya. Kasihan nenek keseorangan tanpa lelaki yang juga suaminya. Kesunyian sudah pasti buat nenek untuk melalui hari-hari tuanya kini. Sabarlah nek.. 


Okey, ini belakang rumah. Pintu ni pintu kedua selain pintu depan. Selalunya kat belakang ni mesti nak bakar ayam, ikan ke apa kat luar ni. Kalau Hari Raya atau tetamu datang mesti kami masuk pintu belakang. Jarang masuk pintu depan sebab segan dengan tetamu, hehe..



Pak Long tengah sibuk kemaskan barang-barang. 


Sebahagian barang-barang macam rak kayu, tikar getah, baju buruk dan apa-apa lagi dibakar. Aku hanya memandang api yang sedang menikmati mangsanya untuk dibakar. Tiada lagi kenangan yang dapat dimiliki.


Masing-masing sibuk membersihkan barang yang nak diangkut. Aku juga yang masih sibuk snap gambar sana sini. Ini kenangan terakhir.


Kawasan rumah makin semak dengan rumput yang panjang meliar. Korang cuba tengok jendela tu. Masa dulu-dulu aku suka panjat jendela tu. Naik turun panjat jendela tu. Dah biasa buat macam tu tapi tak ada orang marah pun. Aku tak reti duduk diam kalau nak main panjat-panjat ni. Rindu pulak nak main panjat jendela tu tapi tak berani sebab rumput panjang. Ada pacat, tak nak la..


Kenangan paling bermakna buat aku mesti la kat tangga. Tangga yang cukup istimewa bagi aku. Di sini aku selalu bermesra dan bergambar dengan kucing, berbual-bual dengan arwah atuk dan kaum kerabatku yang lain, menghirup udara segar dan ada lagilah..


Sebelum pulang ke rumah aku sempat snap gambar terakhir. Sengaja pintu dan jendela rumah dibuka luas-luas. Lagipun rumah ini tidak selamat. Ada sahaja budak lelaki masuk menceroboh. Tiada siapa mahu duduk di sini.  Kalau lama dibiarkan bahaya dan tempiasnya terkena pada orang kampung. Memikirkan kepentingan orang kampung juga kami terpaksa robohkan rumah ini. Kalau tidak pasti kes kecurian semakin berleluasa.  Hurmm....

Korang nak tahu bila rumah ni dibuat?


Tahun 1982. Tujuh tahun rumah ini sudah ada sebelum aku wujud di dunia lagi. Tahun 1989 barulah aku dilahirkan rumah warisanku sendiri. Sekarang korang tahukan kenapa rumah ni sangat bermakna bagi aku? 1982-2011. 29 tahun lamanya rumah ni dibina. 

Mesti korang tertanya-tanya kenapa kali ini entri aku tentang rumah ni. Sebenarnya, rumah ni akan dirobohkan. Ya, rumah ini akan dirobohkan! Segala kenangan yang pernah diabadikan tidak lagi mampu diputarkan kembali. Hanya terakam di ingatan dengan bayangan yang berilusi saja. Kayu-kayu rumah pula akan dijual. Sedih dan sebak mengenangkan nasib rumah ini. Tuan rumah sudah pergi jadi rumah ni juga 'kematian' seperti tuannya. Selamat tinggal rumah tua yang banyak berjasa dan mengindahkan memori hidupku. Selamat tinggal (*_*)

TINGGAL KENANGAN








Setitis demi setitis air mata mula mengalir. Meronta-ronta tidak mahu melepaskan rumah tua itu. Satu persatu bayangan memori menerpa menggamit kerinduan. Di rumah itu aku dilahirkan. Aku memiliki datuk dan nenek tersayang. Aku memiliki 'kekasihku' : kucing. Semuanya di situ. Tiada tempat lain walaupun rumah tua itu buruk. biarpun tidak seindah istana mewah. Air mata menitis lagi. Selepas ini generasi warisan keturunan keluarga seterusnya tidak lagi akan merasai memori indah seperti aku. Ya, aku bertuah merasai segala-galanya biarpun hanya sementara. Aku bertuah :-)

INGATAN DAN KERINDUAN SENTIASA MENGGAMIT HARI-HARI MENDATANG KAMI :





AL-FATIHAH BUAT ARWAH TOK CIK 

27 June 2011

SURAT RINDU DARI ASWARA

Pagi semalam aku buat kerja rumah lepas tu tolong Sis Tih buat sample kuih raya. Tengah syok buat kerja terdengar bunyi motor posmen hantar surat. Aku pun pergi la ambil surat dan ada jugak orang kirim surat rindu kat aku, hehe. Aku bukak surat tu tengok dari ASWARA. Oh  ASWARA, aku pun rindu kau jugak. 



ASWARA kirim surat rindu kat aku. Mahu ketemu aku lagi pada 24hb 7 2011 untuk meneruskan  pengajian ke semester 3. Sudah 2 semester aku tempuhi dan setahun jugalah aku berilmu di ASWARA. Syukur, Allah memberikan rezeki aku berjuang meneruskan berilmu. Alhamdulilah. Setahun aku di ASWARpelbagai cabaran dan dugaan aku tempuhi. Memang benar orang kata cabaran itu keperitan dan kepedihan tapi semua itu ada hikmahnya. Ya, hikmah mengajar aku menjadi lebih dewasa dan matang bila keseorangan berjauhan daripada keluarga. Masih ada beberapa semester lagi kemudian aku akan menamatkan pengajianku di ASWARA

Cepatnya masa berlalu sedangkan hari-hari yang dilalui bagaikan setahun lamanya. Menerima kiriman rindu ASWARA menyedarkan aku hidup mesti diteruskan. Aku pasti berjaya. Berjaya dalam pelbagai erti dan cara untuk sebuah kehidupan yang tidak tahu kisahnya macam mana kelak. Aku berjanji aku akan belajar bersungguh dan nekad menghabiskan pengajianku dengan sebuah kejayaan. Insya Allah, amin..

Tidak sabar-sabar mahu kembali ke ASWARA. Bertemu dengan teman-teman, pensyarah, asgment dan benda di sekelilingku. Kesabaran menunggu lebih mendebarkan aku untuk  mengetahui keputusan peperiksaan semester 2. Aduhaaii, berdebar dan takut memikirkan result nanti. Pernah ada manusia suka mengusik dalam erti kata menyindir bertanyakan resultku. Ah, pedulikan. Aku tidak kisah pandangan sindiran dan sinis asalkan result itu lebih penting dan bermakna buat aku berbanding pandangan kotor itu.




Benar kata sahabatku, Nuru : Jangan difikirkan kata orang di mana kita belajar. Kalau belajar di tempat yang berkelas tapi result tak cemerlang buat apa? Biarlah mereka terus bersikap begitu asalkan kita tetap dengan keputusan cemerlang. Kita boleh berjaya walaupun kita di tempat yang berbeza. 

Nah, itu kata Nuru apabila aku meluahkan perasaan apabila ada pandangan memandang rendah padaku. Aku berjanji dengan Nuru untuk bangkit dan membuktikan kepada mereka walaupun aku tidak berkelas setaraf tempat pengajian mereka tapi aku ada 'jenama dan imej' sendiri. Dunia sastera adalah dunia kehidupan aku. Tiada siapa berhak mempersoalkan kehidupan aku. Tunggu, aku akan buktikan pada mereka dunia seni tidak pernah berakhir dan mereka yang akan mencari dunia seni itu sendiri. Terima kasih Nuru memberi sokongan kepadaku. Aku bangga memiliki sahabat seperti Nuru. Walaupun dia belajar di UKM tetapi dia tidak pernah memandang rendah aku belajar di ASWARA. Kata Nuru, ASWARA juga seperti IPTA dan aku harus bangga bertempatkan diriku di situ. Aku tidak bangga tetapi bersyukur berpeluang meneroka ilmu di situ.

:: Hari terakhir peperiksaan semester 1.. Rindunya! ::

Sebut tentang result aku tidak kisah dengan teka-teki teman sefakultiku. Ada sahaja kami saling mengusik siapa yang akan menjadi best student dan dapat anugerah dekan. Anugerah itu tidak penting bagi aku kerana aku lebih mementingkan kualiti dan kecemerlangan keputusanku. Moga-moga keputusan peperiksaan semester 2 cemerlang dan lebih baik berbanding semester 1. Insya Allah. 



Inilah pengawal keselamatan rumah kami sekeluarga,haha. Ayam jantan seekor ni memang meletup. Tiga ekor ayam betina asyik duk melekat dengan dia je. Ayam jantan ni bila nampak aku aje terus terlompat-lompat. Apa kau ingat disko nak terlompat-lompat? Hehe.. Haiyya, dia mintak makanan la.. Aku nak ambil surat je. Malu la tu terlompat-lompat beria sangat, kihkih. Okey, babai korang!

26 June 2011

PENDAFTARAN PEMILIH DEMI NEGARA



Borang apa pulak aku letak ni? Adakah ini borang mencari calon suami? Mungkin borang nak kahwin? Haha.. Salah. Kalau korang nak tahu ini la borang untuk PENDAFTARAN PEMILIH. Apa benda pulak pendaftaran pemilih ni? Inilah aku nak kongsi bersama-sama dengan korang pasal borang ni. Sebelum aku nak cerita pasal borang ni aku daftar borang ni di Pejabat Pos, Tesco, Kelantan. Kebetulan pejabat pos buka walaupun hari Sabtu (di Kelantan hari Sabtu cuti) dan hanya seorang saja pelanggan kat situ. Aku pun ambil kesempatan nak buat pendaftaran pemilih. Aku tengok seorang je yang bekerja dan 3 kaunter lagi tutup. Entah-entah membeli belah dalam Tesco kot,hehe. Masa nak daftar borang ni cuma bawa diri sendiri dan kad pengenalan sahaja. Yang lain-lain tak payah bawak,hehe. Okey, jom kenal tentang borang PENDAFTARAN PEMILIH melalui sumber rujukan dari http://www.spr.gov.my.



APA YANG DIMAKSUDKAN DENGAN PENDAFTARAN PEMILIH ?
Pendaftaran Pemilih sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang, membolehkan warganegara Malaysia yang layak mendaftar sebagai pemilih. Di samping itu ia membolehkan Pemilih Berdaftar yang sudah bertukar alamat mendaftar di alamat baru. Pemilih juga digalakkan untuk menyemak nama mereka dalam Daftar Pemilih yang sudah disahkan.

KENAPA ANDA PERLU MENDAFTAR ?
Untuk mendapat hak anda mengundi dalam pilihan raya serta menggunakan hak anda sebagai seorang warganegara.

SIAPA YANG LAYAK MENJADI PEMILIH ?
- Warganegara Malaysia;
- Sudah mencapai umur 21 tahun;
- Menetap di mana-mana Bahagian Pilihan Raya di Malaysia; dan
- Tidak hilang kelayakan.


BAGAIMANA UNTUK MENDAFTAR ?
- Pergi sendiri ke Pusat Pendaftaran;
- Bawa bersama Kad Pengenalan anda;
- Pastikan Borang A diisi dengan betul oleh petugas sebelum anda menandatangani borang; dan
- Simpan satu salinan borang berkenaan sebagai bukti pendaftaran anda

DI MANA ANDA BOLEH MENDAFTAR?
- Pejabat-pejabat SPR di Putrajaya dan di setiap negeri di seluruh negara;
- Pejabat Pos Malaysia di seluruh negara;
- Kaunter Pendaftaran Bergerak SPR;
- Wakil-wakil Parti Politik yang dilantik SPR
- Wakil-wakil jabatan/agensi kerajaan yang dilantik SPR

Korang nak tahu lagi ke pasal borang ni? Senang cerita korang hanya click di sini :
http://www.spr.gov.mySemua benda pasal borang ke berita pasal pemilihan raya ke korang rujuk kat web tu saja. Mudahkan?

Tujuan aku cerita pasal borang PENDAFTARAN PEMILIH ni kerana sebagai tanggungjawab untuk menentukan demi masa depan negara. Sudah cukup umur 21 tahun menandakan kita sebagai rakyat perlu sentiasa peka dengan keadaan semasa dengan memikul tanggungjawab. Tanggungjawab kita dengan memilih calon yang layak dan amanah melaksanakan tanggungjawab untuk rakyat dan negara.  Ingat, satu undian dari kita sangat bermakna. Buat korang yang sudah berumur 21 tahun yang masih belum mendaftar cepat-cepat daftar borang pendaftaran pemilih. Pilihan raya boleh berlaku bila-bila masa sahaja dan masa itulah tanggungjawab kita sangat diperlukan. Undi tu pula mesti undi betul dan jangan main-main. Masa depan negara di tangan kita juga. Kita sebagai rakyat mencorakkan 'hidup' negara nanti.

Lepas daftar borang tu aku tak sabar-sabar nak merasai pengalaman 'demam' pilihan raya sebagai pengundi nanti. Ayah aku tanya nanti kalau pilihan raya aku nak pangkah apa? Aku dah tersengih. Aku kata nak pangkah parti ubi kayu bakar. Aku ketawa. Ayah pun ketawa. Sebenarnya, soalan ayah tu adalah soalan aku masa sekolah rendah. Aku selalu tanya macam tu bila pilihan raya berlaku mesti ayah kata nak pangkah parti ubi kayu bakar. Jadi, aku pun kenakan baliklah kat ayah,haha. Undi itu rahsia! Babai :-)

25 June 2011

BERMAIN MATA DENGAN JAAFAR ONN

Pukul enam pagi adik bising-bising kejutkan aku bangun dari tidur. Ikutkan hati tak mahu bangun. Nak tidur lagi. Mana tahu sempat bermimpikan putera raja idaman?Kihkih. Aku bangun jugak dengan malas. Jalan pun mamai sebab mata aku ni dah la sepet lepas tu mata aku tak celik sangat pun. Nasib baik tak langgar dinding,hoho. Masa mandi pulak tak sanggup lama-lama. Menggeletar dan menggigil aku dibuatnya. Dah lama aku tak mandi pagi seawal ini. Dulu masa sekolah boleh la, rindu kenangan jadi budak sekolah dulu-dulu. Siap mandi dan bersiap segala bagai aku tengok jam dah pukul 7 pagi. Aku hantar adik ke sekolah dulu lepas tu baru aku hantar ayah pergi pejabat. Sebelum hantar ayah, kami sarapan di kedai makan bertentangan dengan pejabat ayah. Lepas hantar ayah barulah aku gerak nak pergi sekolah.

Aik, buat apa pulak pergi sekolah. Haa, aku kena jadi 'mak bapak' adik aku hari ini sebab ada majlis Kembara Riang Ria Pemakanan Di Sekolah Rendah Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh (SKPJ). Aku tengok jam dah pukul 8.11 pagi. Aku parking sedikit jauh dari kawasan sekolah dan berjalan kaki. Alah tak sampai 5 minit pun jalan kakinya. Aku masuk kawasan sekolah mak bapak dah ramai, segan aku pulak di buatnya. Okey, aku nak bercerita sambil cuci mata korang dengan beberapa gambar yang aku snap. Jom, cuci mata sambil berpot pet..


Wah, bergaya sakan mak-mak datang sekolah. Gaya mak-mak mengancam mengalahkan cikgu pulak. Aku rasa maybe aku boleh tertukar mak-mak dengan cikgu. Jauh benar beza mak-mak dulu dengan sekarang. Mak-mak dulu datang sekolah pakai biasa-biasa saja, kurang make up. Mak-mak sekarang datang sekolah bergaya sakan, make up, tudung selit sana sini. Aku yang muda mudi ni pun kalah dengan mak-mak,kihkih. Meletup mak-mak bergaya,hebatnya!



Masa menunggu pendaftaran aku sempat snap gambar budak-budak ribena. Buat barisan nak buat senaman aerobik sebelum bersukan. Lepas tu barulah aku pergi ke dewan A untuk majlis sekolah hari ini.


Bersemangat betul budak-budak ribena buat senaman aerobik. Aku pun suka benda macam ni nak-nak pula kasi lagu yang mantap dan best. Memang syok jugak. Teringat pulak senaman aerobik masa minggu orientasi ASWARA buat senaman 1Malaysia. Best. Paling penting aksi jurulatih yang comel sambil kata 'lompat-lompat kecut perut'. Sampai sekarang aku ingat ayat senaman ni,hoho. Aku yang tengok pun rasa nak join jugak la..Kihkih.


Nampak tak budak ribena pakai tudung putih? Itulah adik aku. Darjah enam tapi gaya macam budak ribena darjah 1 sebab pendek. Haha! Aku tengah snap gambar nampak adik aku lambai-lambai kat aku. Tersengih je suka sebab aku datang sekolah dia. Huhu..


Inilah suasana pagi majlis sebelum majlis dimulakan. Ya, mak-mak menguasai dewan ni dan bapak-bapak terpaksa duduk di luar bawah 'khemah kanopi' sebab tak muat. Jam dah pukul 8 lebih. 


Siapa perempuan sebelah aku ni? Inilah kenalan baru aku masa tengah daftar tadi. Aku duk sorang-sorang lepas tu terpandang dia. Dia pun tersenyum. Aku senyum. Nama dia Hajar. Muda lagi, umur 21 tahun dan study di USM. Peramah betul dia ni. Syukur, aku diketemukan kenalan yang peramah dan boleh diajak berbual bersama. Ye la, sekeliling aku kebanyakan mak-mak. Masa tengah tunggu majlis yang lambat nak start ni kitaorang saling bertukar cerita tentang tempat study masing-masing. Sempat lagi kitaorang bergambar,hehe.


Dah masuk pukul 9.20 gaya gitu la tapi majlis tak jugak start-start lagi. Aduhaai, lambatnya majlis nak start dan pasti majlis berakhir pun dengan lambat jayanya nanti. Mujur ada Hajar boleh la berbual bersama walaupun aku mula nampak bantal dalam bilik aku,hehe.


Akhirnya, muncul juga pelakon dan juga chef Jaafar Onn kat majlis ni. Beliau dijemput sebagai chef  masakan seiring dengan tema majlis ni. Korang tengoklah tinggi gila sampai kepala tu hampir dengan kipas. Mak-mak pula yang tengah berbual sakan tiba-tiba teruja sambil bertepuk tangan bila Jaafar Onn muncul. Kelas kau! hehe. Mak-mak apa lagi terus bangun berdiri ambil gambar Jaafar Onn. Mak-mak kau dulu ada macam ni? Haha..


Jaafar Onn bijak berkomunikasi dengan audiens sambil tunggu masakan untuk dimasak. Kelakar dan meriah sangat. Mana taknya asyik-asyik buat lawak lepas tu kitaorang asyik bantai gelak je. Ada je Jaafar Onn 'tarik' mak-mak bercakap dengan dia lepas tu dia kasi mug, buku & cd. Aku mampu tengok je sebab tak berapa minat kena 'tarik' pergi depan, hehe. 

Habis je sesi masakan bersama Jaafar Onn aku tengok jam dah pukul 10.38. Hah, masa nilah aku dah mula kebosanan dengan suasana majlis ni. Mana taknya dah pukul 11.30 orang yang dinanti-nantikan tak muncul juga. Susah juga jadi penunggu untuk dif-dif terhormat ni ya? Agak-agaknya masa tengah menunggu dif-dif terhormat sempat kot aku lipat baju, masak nasi dan jemur pakaian. Korang faham tak lama gila menunggu sampaikan aku dan menguap banyak kali. Hajar pun dah sama dengan aku lepas tu kitaorang saling gelakkan diri masing-masing.  Pukul 11.45 kurang gitu la barulah majlis diteruskan. Membosankan! Kebosanan aku sedikit hilang apabila ada persembahan dikir barat dari pelajar sekolah tersebut. Lepas tu ada la dif-dif berhormat yang ditunggu-tunggu sejam lebih ni berucap atas pentas. Aku tengok jam dah nak masuk pukul 12 lebih. Bila dah syok sendiri bercakap atas pentas mula la melalut yang tak kena dengan tema majlis. Ada rungutan dari mak-mak dengan nurse sebab lama kot pot pet. Aku pun cuak dan agak mula menyampah. Mak-mak pun dah resah tengok jam sebab dah pukul 1. Faham-fahamlah mak sentiasa sibuk dengan rumah, urusan kerja, anak-anak dan apa-apa lagi. Habis dif-dif berhormat berucap persembahan terakhir dari pelajar perempuan sekolah darjah lima bercerita lepas tu sesi bagi cenderahati dan cabutan bertuah. Aku ingatkan dah habis dan tak lagi. Jaafar Onn still teruskan majlis dan aku rasa macam nak terbang balik rumah je. Penat dan bosan. Oh ya, lapar! Jaafar Onn pun tak ambil masa lama macam dif-dif berhormat cakap-cakap lepas tu ambil gambar.


Suka tengok Jaafar Onn bergambar. Sentiasa tersenyum dan peramah dengan budak-budak ribena. Okey, dah pukul 1.30 baru majlis tamat. Aku ajak adik balik rumah sebab penatnya tambah lagi cuaca yang membahang panas. Aku balik rumah rest kejap dan hampir nak tertidur. Pukul 3.00 petang pulak aku pergi ambil ayah kat pejabat. Aku bawak jugak kereta walaupun mengantuk sangat-sangat. Mujur ada adik temankan aku ambil ayah. Sampai di pejabat dan ayah pun masuk dalam kereta. Masa on the way nak balik rumah aku tak tahulah kenapa tiba-tiba aku rasa nak marah, tumbuk dan gusti orang. Tiba-tiba aje aku hon kereta yang nak masuk cabang di jalan aku tengah lalu. Maybe aku bawak kereta agak laju tak sabar-sabar nak balik rumah mahu berehat lepas tu kereta tu muncul mengejut. Agaknya itu aku marah-marah kot. Ayah aku pun terkejut. Aku jarang sangat-sangat hon orang ni tapi kali ni aku betul-betul hon sambil marah-marah. Ayah diam kejap, terkejut agaknya tapi tak marah pun. Sorrylah ayah, hehe. Aku bagitahu ayah yang aku penat, mengantuk dan lapar sangat. Seharian di sekolah yang agak merugikan masa aku. Menunggu lama,huh!

Sampai kat rumah aku campak tubuh kat katil. Aku tak kisah jam dah pukul 4 petang sebab aku mengantuk. Sebenarnya malam tu aku tidur pukul 3 lebih dan mestilah mengantuk tak cukup tidur. Aku kunci pintu bilik tidur tak nak diganggu sebab kalau orang ganggu aku tidur haru rumah aku mengamuk nanti. Sedar-sedar aku bunyi telefon ada panggilan dari kawan aku. Sempat lagi aku tengok jam. Masya Allah, dah pukul 8.34 malam! Lamanya aku tidur! Nasib baik aku tengah 'berbulan' jadi tak la kelam-kabut. Aku baru perasan kenapa aku marah-marah, penat, lapar dan emosi berubah rupa-rupanya tengah 'berbulan'. Biasalah perempuankan.. Lupa pulak,hoho.

Edd Luigi telefon aku. Dia khabarkan berita duka. Ayah mertua kakaknya, seorang juruterbang tengah buat pertunjukan akrobatik meninggal dunia sebab pesawat tiba-tiba buat hal di Indonesia. Kasihannya bila arwah tak sempat nak tengok dan sentuh bakal cucu perempuan yang dikandungkan oleh kakak Edd Luigi. Keluarga sebelah abang ipar Edd Luigi dah lama nak cucu perempuan sebab semuanya cucu lelaki saja. Sedih betul bila kakak Edd Luigi menangis dan pengsan bila dapat tahu berita buruk ni. Apa-apa pun aku ucapkan salam takziah. Al-Fatihah.

Tentu korang nak tahu berita tentang juruterbang ni kan? 

*
*
*

JURUTERBANG MAUT DALAM PERTUNJUKKAN UDARA


JAKARTA: Seorang juruterbang Malaysia terbunuh apabila pesawat ringannya terjunam dan terhempas di tanah lapang dalam pertunjukan aerobatik di Minang Aerosport 2011, di Kompleks Perundam III Tunggul Hitam, Padang, Sumatera Barat, petang semalam.
Juruterbang itu dikenali Kolonel (B) Zakaria Salleh dari Kelab Penerbangan Subang, Selangor.

Kedutaan Besar Malaysia, di sini, mengesahkan laporan itu dan usaha sedang dilakukan untuk menguruskan penghantaran pulang jenazahnya ke Malaysia.

Konsul General Malaysia di Medan, Norlin Othman berkata pesawat yang dipandu Zakaria ialah dari jenis Cristian Eagle dengan nombor pendaftaran N21H dan kejadian berlaku pada kira-kira jam 5.24 petang waktu tempatan.



Difahamkan, bahawa sejumlah lapan pesawat dari Malaysia termasuk pesawat berkenaan mengambil bahagian dalam pertunjukan udara itu.
Pesawat lain adalah daripada jenis C172, dua pesawat C150 dan satu pesawat PA28.

Menurut laporan media tempatan yang memetik seorang saksi, pesawat Eagle itu sedang melakukan aksi aerobatik apabila ia tiba-tiba jatuh menjunam ke tanah.

Pesawat itu juga dilaporkan mengeluarkan asap tebal sebelum menjunam ke tanah lapang di Jalan Galaksi.

Sejurus kemudian anggota polis dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) mengeluarkan mangsa dan terus membawanya ke Hospital M Djamil, Padang.

Polis Padang berkata, Zakaria meninggal dunia di hospital.

Sementara itu di Kuala Lumpur, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata Allahyarham Zakaria merupakan bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kini bertugas sebagai juruterbang eksekutif syarikat penerbangan Berjaya Air.

“Allahyarham berasal dari bandar Country Homes, Rawang, dan menyertai Berjaya Air sejak empat tahun lepas dan semasa bertugas dengan TUDM, Allahyarham adalah kapten pasukan aerobatik,” katanya.

Zakaria adalah juga kapten Kelab Penerbangan Diraja Selangor dan juga Ketua Jurulatih Penerbangan kelab itu.

Difahamkan, isterinya yang hanya dikenali sebagai Laila berada di Padang,
Sumatera sebaik mengetahui kemalangan maut suaminya.

AL-FATIHAH