06 April 2011

AL-FATIHAH BUAT PAK


Semalam aku bersengkang mata menyiapkan assignment kuiz kelas Encik Azman - Penulisan Rencana. Asyik mencuit butang-butang di lappy Compaq kesayanganku aku membuka telefon bimbitku. Aku melihat di kalendar telefon bimbitku dan 6/4/2011...!

-IMBAS KEMBALI-

:: Arwah Pak masih sihat ::

:: Arwah Pak mampu tersenyum ketika ini ::

Waktu tengah hari bertarikhkan 6/4/2010,
Aku menerima panggilan daripada emak tersayang,
Ada khabar mendukacitakan yang harus aku terima,
Arwah datuk tercinta, Pak sebelah ayahku meninggal dunia,
Pukul 1.15 arwah Pak sudah menoktahkan hembusannya,
Aku menarik nafas setenang mungkin dan menahan kesedihan,
Selepas habis kelas terus aku kembali ke asrama,
Aku kemaskan barang yang perlu dibawa untuk pulang ke rumah.

Tiba di rumah bapa saudaraku, Pak Ngah Jusoh,
Ramai saudara-saudara datang menjejak ke rumah itu,
Aku pula mendiamkan diri kerana masih terkejut dengan pemergian arwah,
Inilah kali pertama aku kehilangan ahli keluarga tersayang,
Ya, memang sekian lama kami bersama dan akhirnya tercetus jua perpisahan,
Sebak sudah melilit emosi aku yang cuba menahan dari menitis air mata,
Aku tidak sanggup melihat sepupuku yang bersandar di dinding,
Matanya merah dek kerana kebasahan menangisi pemergian arwah Pak,
Aku palingkan wajahku daripada melihat sepupuku.

Selesai dimandikan dengan tangan-tangan manusia,
Arwah Pak dibaringkan di luar dengan tubuh yang kaku,
Aku lihat seorang pak cik yang sudah berusia mengeluarkan barang,
Kain kapan putih, gunting dan apa-apa lagi sudah ada di atas tikar itu,
Aku lihat dan perhatikan perbuatan pak cik itu,
Kain kapan putih dibuka dan diselimuti tubuh arwah Pak,
Tubuh arwah Pak kaku dan tidak lagi ada gerakan,
Semuanya kaku dan diam!

Aku menarik nafas dan hembusan emosi mula meniup kesebakan,
Tika ini jugalah air mataku mula bergenang menyaksikan suasana sepi,
Nafasku juga naik turun menahan tangisan,
Akhirnya, titisan air mata yang kutahan berderai jua,
Sepupuku yang kecil memandang ke arahku dan aku tunduk,
Lengan di bajuku kuletakkan di mata biar tiada titisan air mata keluar,
Aku seakan-akan tidak percaya melihat tubuh kaku itu hanya diam,
Lebih menyedihkan lagi apabila kepala arwah Pak sudah dibalut kemas,
Kini aku yakin arwah Pak benar-benar tiada dan meninggalkan aku yang masih bernyawa,
Aku percaya sememangnya aku kehilangan manusia yang pernah memberi sinaran kepadaku.

Sebelum dikafankan dengan penuh pak cik itu bersuara,
Meminta anak-anak dan cucu-cucu melihat arwah Pak kali terakhir,
Aku berjalan dan mendekatkan diri dengan emak saudaraku,
Aku orang kedua yang datang kepada arwah Pak,
Biarlah orang melihat aku mencium wajah yang berseri itu,
Tiada rasa malu apabila diperhatikan orang ramai,
Aku mahu menyentuh dan memberikan sentuhan terakhir buat arwah Pak,
Aku cium dahi dan pipi arwah Pak dan sejuk!
Makin aku sebak dan sedih menatap tubuh kaku itu yang matanya sudah tertutup rapat.
Aku bangun dan berjalan jauh dari orang ramai,
Aku tidak sanggup lagi melihat ahli keluargaku menangis.

Aku nekad untuk menamatkan tangisan ini,
Aku tidak mahu ada titisan air mataku menitis untuk arwah Pak,
Aku tidak sanggup membiarkan jenazah arwah Pak keberatan meninggalkan rumah ini,
Aku mahu arwah Pak pergi dengan tenang dan damai,
Aku menarik nafas dan menghembuskan dengan perasaan yang redha,
Sekarang aku mahu arwah Pak pergi dengan tenang.

Buat arwah datuk tercinta, Pak...
Biarpun kita sudah terpisah dan terbatas antara dua alam,
Kasih, cinta dan rinduku  untukmu tetap utuh sampai bila-bila,
Moga kau damai dan tenang di sana bersama orang yang beriman,
Kukirimkan bait-bait sentuhan AL-FATIHAH untukmu,
Amin...

:: Arwah Pak ketika sakit ::

:: Semakin bertambah tenat ::

:: Jenazah sedia dimasukkan ke dalam kubur ::

:: Kembali kepada pencipta asalnya ::

:: Selesai pengebumian jenazah arwah Pak ::

:: Kubur sudah bertanda ::

:: Doa dan talkin dibacakan ::
Post a Comment