11 January 2011

MATA, HATI, JIWA AYAH DALAM HIDUPKU

A.Y.A.H

Awal pagi aku sudah bangun bersiap walaupun agak liat untuk mencelikkan mata daripada terus terlena dengan indah. Selepas menghantar adik ke sekolah, aku bersama Ayah dan Kak Tih berdestinasi ke negeri Kelantan. Ada tujuan kami mahu ke sana, hal penting. Sebelum meneruskan perjalanan kami singgah di kedai makan milik teman Ayah untuk bersarapan pagi. Hanya aku dan Kak Tih sahaja makan di situ manakala Ayah pula berehat di dalam kereta. Katanya mata dia tidak membenarkan untuk melihat sinaran matahari. Bergaya pula aku melihat Ayah memakai kaca mata hitam, hehe.

                Okey sekarang kami akan menuju ke HOSPITAL  RAJA PEREMPUAN ZAINAB II KOTA BHARU, KELANTAN. Inilah urusan penting kami iaitu mahu membawa Ayah berjumpa dengan doktor pakar memberi rawatan kepada Ayah. Hari ini orang terlalu ramai sehinggakan tiada parking kereta untuk kami dapatkan. Terpaksa Kak Tih mencari parking manakala aku pula bersama Ayah mencari tempat bahagian SOPD. Kalau tak silap aku SOPD ini untuk rawatan yang berat-berat seperti pembedahan. Di saat aku berjalan dengan Ayah hati aku benar-benar terusik. Ya, sangat terusik! Ayah tidak mampu berjalan seperti dulu. Dulu dia boleh menggunakan kedua-dua matanya untuk dijadikan ‘kaki’ mencari jalan tetapi sekarang tidak ada lagi. Mata kanannya semakin teruk dan kesannya bengkak dan sepet. Tidak seperti mata kirinya. YA ALLAH, sungguh aku sedih melihat keadaan orang yang aku sayangi diduga sakit seperti ini namun aku tahu Ayah seorang lelaki yang tabah.

                Aku pegang lengan Ayah dan memimpinnya dengan cermat. Aku tidak mahu Ayah tersadung, terjatuh dan sebagainya. Aku mahu Ayah berjalan dengan sebaik mungkin di sisi aku. Ini tanggungjawab aku untuk Ayah.  Aku letakkan Ayah di kerusi kemudian menghulurkan kad biru milik Ayah kepada nurse yang bertugas di kaunter. Sungguh, hari ini orang memang terlalu ramai. Kanak-kanak kecil juga ramai. Ya, semakin hari semakin bertambah bilangan manusia sakit tidak kira muda atau tua. Selepas mengambil nombor giliran  aku duduk di sisi Ayah. Aku pandang dan tatap wajah Ayah. Kasihan Ayah. Tidak sanggup aku memandangnya lama-lama kerana wajah lelaki di hadapanku sudah banyak berbudi dan berkorban untuk aku. 

                Sudah hampir jam 11.40 pagi bermakna kami sudah menunggu dua jam lebih. Ada suara merungut kerana terlalu lama menunggu untuk berjumpa doktor ditambah pula tangisan kanak-kanak kecil. Mungkin mereka bosan dan rimas dengan suasana bising di sini. Sedang menunggu giliran Ayah, aku terpandang seorang nurse. Nurse perempuan cina, memakai kaca mata, kurus, tinggi dan berambut pendek. Tertarik aku melihatnya apabila dia tak lekang memberi senyuman kepada pesakit apabila dia memanggil pesakit bertemu dengan doktor. Aduhaiiiii…. Sungguh manis senyumannya. Senyumannya seolah-olah memujuk kami agar bersabar seperti  ‘Harap bersabar ya. Sekejap lagi doktor panggil.’ Nah, kagum aku dengan nurse cina ini sentiasa tersenyum walaupun aku tahu dia juga penat melayan karenah pesakit berbanding dengan nurse lain yang terlalu wajah serius. 

                Leka aku memerhatikan orang sekeliling Ayah memberitahu kepadaku bahawa dia mahu pencen. Bersara dari dunia pekerjaan yang telah banyak memberi rezeki kehidupan kami sekeluarga. Aku terus bersetuju dengan fikiran Ayah tetapi terhalang pula. Ada masalah yang seharusnya tidak perlu wujudkan tetapi sengaja diwujudkan. Sungguh, aku geram. Masalah itu biarlah dirahsiakan. Aku kasihan melihat Ayah terlalu menderita menahan sakitnya. Aku mohon kepadaNYA agar memberi petunjuk penerang hati kepada insan itu agar kembali insaf. Aku mahu Ayah tenang dan bahagia walaupun ‘diusik’ kesakitan. Bosan juga kemudian aku berborak dengan Ayah sambil memicit-micit betisnya yang sememangnya kurus. Aku mahu meringankan beban Ayah dan berharap setiap picitan aku lakukan mampu memberikan ketenangan untuk Ayah yang ‘diikat’ dengan kesakitan.

                Pukul 12.05 tengah hari giliran Ayah berjumpa dengan doktor. Aku memimpin Ayah menuju ke bilik doktor kemudian aku menunggu di luar. Ini permintaan Ayah. Mungkin dia tidak mahu terganggu untuk berbual dengan doktor tentang penyakitnya. Lama juga Ayah bertemu dengan doktor sehingga aku menguap beberapa kali,hehe. Kebosanan sudah lama melanda membuatkan aku diam sahaja. Mujur juga ada kanak-kanak kecil mahu bergurau dengan aku. Nakal juga budak perempuan kecil ini tetapi aku terhibur. Memang aku suka akan kanak-kanak kerana bagi aku jiwa aku lebih damai dan tenang ‘berkomunikasi’ dengan mereka. Mungkin mereka masih kecil dan tidak memahami erti kehidupan yang sebenar-benarnya. Pukul 1.00, Ayah baru keluar dari bilik doktor.

                Selesai menguruskan segala-galanya nurse memberi temujanji seterusnya kepada Ayah. Kali ini temujanji untuk x-ray di bahagian kepala Ayah dan ultra sound pula. Aku memimpin Ayah untuk keluar dari tempat SOPD. Kak Tih sudah menunggu di luar sana dalam kereta. Sekali lagi aku hampir menitiskan air mata apabila melihat Ayah cuba menuruni tangga tetapi tidak mampu berbuat sendiri. Dia sudah tidak nampak ‘pegangan’ tangga dan jelas wajahnya bersedih kerana tidak dapat melihat dengan pandangan sempurna. Kasihan Ayah. Aku tahu Ayah terlalu penat menghadapi semua ini tetapi aku berharap Ayah kuatkan semangat. Aku mahu Ayah tahu isteri dan anak-anaknya setia bersamanya sampai bila-bila kerana kami sangat sayang akan Ayah. Inilah mata, hati, jiwa Ayah dalam hidup aku kerana aku hanya memiliki Ayah kandung seorang sahaja. Kasih Ayah sampai bila-bila. Terima kasih, Ayah!
Post a Comment