11 January 2011

AYAH SAKIT LAGI

Petang ini masih lagi milik hari Khamis. Aku bersama Kak Long, Abang Ngah dan Kak Ngah  dalam perjalanan pulang ke rumah dari Kampung Raja, Besut. Telefon bimbit Nokiaku menjerit menarik perhatian aku. Panggilan dari Ayah.

                “Hello…”

                “Kak Chik kat mana? Lambat lagi nak balik rumah?” tanya Adik dengan laju.

                “Kak Chik memang dah nak balik. Kenapa?” soalku pula.

                “Ayah sakit. Kaki dia kejang. Cepatlah balik. Mak dan Kak Tih keluar pergi ambil Abang Apih di IKM,” sekarang aku menjadi risau.

                “Iyalah, Kak Chik akan balik dengan segera. Adik tolong tengok-tengokan ayah. Kalau boleh tolong picit ayah.” Aku matikan talian telefon bimbit dengan hati yang gelisah dan bimbang memikirkan keadaan ayah.

                Sampai di rumah aku terus mendapatkan ayah yang terbaring di atas tilam. Kasihan ayah. Ada kerutan di wajahnya menahan sakit. Kedua-dua kakinya kejang. Hanya rintihan sakit mampu dilontarkan oleh ayah. Mahu di urut tidak boleh sebab kaki ayah masih kejang. Hampir tujuh minit kaki ayah tidak kejang seperti sebentar tadi. Lega seketika. Ayah menceritakan kembali kakinya boleh menjadi kejang.

                Ayah dan adik di dapur. Tiba-tiba kaki ayah kejang sewaktu dia duduk di atas kerusi. Adik yang turut berada di dapur terkejut dan takut. Kata ayah pucat wajah adik melihat kekejangan kakinya. Hendak tak hendak ayah terpaksa turun dari kerusi dengan keadaan yang sungguh menyeksakan. Ayah terpaksa mengesot dengan kaki yang tengah kekejangan dari dapur untuk pergi ke tilam di ruang tamu. Dengan nafas yang tercunggap-cunggap ayah berjaya juga berada di tilamnya. Ketika itu juga adik terus menelefon aku. Kasihan ayah.

Aku boleh bayangkan betapa derita dan seksa ayah mengesot tanpa bantuan orang lain. Ingin meminta bantuan adik sudah tentu adik tidak mampu. Adik masih kecil dan tubuhnya juga masih kecil. Sekarang perasaan aku sering terganggu apabila melihat ayah jatuh sakit akhir-akhir ini. Beberapa hari lagi aku akan kembali terbang melebarkan sayap di Kuala Lumpur. Berat hati aku mahu meninggalkan ayah dengan keadaannya yang tengah sakit. Anak mana yang tidak bimbang dan tidak mahu terpisah apabila melihat orang yang disayangi oleh mereka sakit apatah lagi insan bernama AYAH.

p/s : Mata kanan ayah hampir tertutup. Terpaksa ayah menggunakan mata kirinya pula. Ayah….!
Post a Comment